Rujukan Ketetapan Agihan Zakat

Skop agihan zakat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang adalah berdasarkan yang telah ditetapkan oleh syara’. Asnaf tersebut seperti mana yang dijelaskan dalam Firman Allah S.W.T:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan”.

Surah At-Taubah ayat 60

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Daripada Zaid Al-Haris Al-Suddai berkata: Aku telah datang menemui Rasullulah SAW maka aku berbaiah kepadanya. kemudian datang seorang lelaki dan berkata : berikan kepadaku sebahagian daripada zakat. Maka Rasullulah SAW bersabda : Allah tidak meredhai keputusan nabi dan manusia lain dalam pembahagian zakat sehingga dia sendiri menentukan keputusanya, maka dia telah membahagikan zakat kepada lapan asnaf, sekiranya kamu termasuk dalam golongan tersebut aku akan berikan hak kamu “

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Objektif Agihan Zakat

  • Sebagai sumber membantu membangunkan ekonomi ummah
  • Meningkatkan dan memajukan taraf hidup Asnaf Zakat dari setiap aspek kehidupan
  • Memelihara maruah dan kesucian Agama Islam
  • Memelihara hak dan tanggungjawab kepada Asnaf Zakat
  • Memangkin perkembangan dakwah Islam

Prinsip Agihan Zakat

Bagi melaksanakan agihan zakat kepada asnaf yang berhak, prinsip-prinsip yang perlu ditepati adalah sebagaimana berikut:

Al-Isti’ab (menyeluruh)
Zakat wajib diagihkan kepada asnaf yang berhak

1. Muqaddam iaitu

(1) Fakir (2) Miskin (3) Amil (4) Muallaf

2. Muakhkhar (kemudian) iaitu

Al-Riqab (6) Al-Gharimin (7) Fi Sabilillah (8) Ibnu Sabil

Al-Khususiyyah (ketetapan/khusus)
Zakat hanya boleh diagihkan kepada lapan asnaf yang disebut Allah S.W.T di dalam surah At-Taubah ayat 60. 

Tiada Ijtihad lagi dalam menentukan asnaf yang layak menerima zakat kecuali pada perkara yang berkaitan perlaksanaan agihan kepada asnaf. Sebarang ”Qias” yang hendak dibuat mestilah tidak keluar daripada asnaf yang lapan.

Al-Hak (hak)
Zakat mesti disalurkan kepada asnaf. Prosedur agihan wajar dibuat bagi melicinkan proses agihan tetapi tidak boleh sehingga menafikan hak asnaf. Wang zakat diagih mengikut keperluan semasa asnaf.

Ar-Raqaabah (pengawasan)
Semua agihan zakat hendaklah dilakukan dengan pengawasan dan kawalan rapi. Sebarang pengagihan zakat yang meragukan perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang. Setiap peringkat kelulusan dan keputusan hendaklah dibuat dengan sifat amanah,bertaqwa dan bertanggungjawab.

Haddul Kifayah (mencukupi keperluan hidup)
Menepati keperluan asasi sebenar dan dibenarkan syarak. Penentuan kelayakan adalah berdasarkan had kifayah sesuatu kawasan.

Fauran (segera/serta merta)
Agihan dilakukan dengan serta merta selepas dikenalpasti layak menerima zakat. Kakitangan yang melakukan tugas pengagihan hendaklah melaksanakan dengan bertanggungjawab.