Kutipan

PENGERTIAN ZAKAT

Dari segi bahasa:

Bersih, suci, subur, berkat dan berkembang.
Pengertian perkataan “bersih dan suci” dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dari hak orang lain dan mensucikan dari sifat kedekut dan bakhil. Dalam erti kata lain juga zakat membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam terhadap orang lain.

Dari segi istilah Syara’:

Sejumlah harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. supaya diserahkan kepada orang-orang yang berhak menerimanya dengan syarat-syarat yang tertentu.

RUKUN ZAKAT

Rukun Zakat ialah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang mencukupi nisab dengan menamatkan kuasa pemilik ke atasnya dan memberi milik kepada orang miskin (fakir) serta menyerahkan kepadanya ataupun diserahkan kepada orang yang mewakilinya iaitu (pemerintah) ataupun pengutip zakat (al-jabi).

SYARAT SAH MENUNAIKAN ZAKAT

  1. Niat
  2. Memberi Milik (At-Tamlik)

Untuk sahnya pemberian zakat disyaratkan “memberi milik”, iaitu dengan cara diberi kepada orang yang berhak. Oleh itu tidak memadai (tidak sah) setakat memberi guna (ibahah) atau setakat memberi makan tetapi ia mestilah dengan cara memberi milik.

SYARAT WAJIB MENUNAIKAN ZAKAT

  1. Islam – Mengeluarkan zakat adalah ibadah di sisi Allah SWT. Tidak wajib zakat ke atas harta orang kafir.
  2. Merdeka (Bukan hamba) – Bebas mencari rezeki yang halal dan tidak dihalangi oleh sesiapa.
  3. Milik sempurna – Harta mestilah dimiliki sepenuhnya dan dapat digunakan pada masa yang dikehendaki tanpa terikat dengan kebenaran dari orang lain. Sempurna dari segi pemilikan (Hak Hiyazah) dan keupayaan mengurus (Hak tasarruf).
  4. Cukup Nisab – Nisab ialah kadar minima yang ditetapkan Syarak untuk mewajibkan zakat. Sesetengah harta yang hendak dizakatkan mestilah bersamaan atau lebih nilainya dengan nilai 85 gram emas mengikut harga semasa seperti zakat emas, pendapatan, wang simpanan dan saham. Manakala, sesetengah harta yang lain menggunakan kadar nisab yang tersendiri seperti zakat ternakan, tanaman dan rikaz dan perak.
  5. Cukup haul – Haul ialah berlalu tempoh setahun (12 bulan) harta dimiliki. Perkiraan haul dalam hukum syarak adalah berdasarkan kepada tarikh hijriiah (354/355 hari). Apabila genap setahun harta dimiliki, barulah diwajibkan zakat