(1) Asas Penubuhan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.

Perkara 24(1) Bahagian 1 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Raja Pemerintah Ketua Ugama Negeri
24. (1) Ketua Ugama Negeri hendaklah Raja Pemerintah dan Raja Pemerintah, dari satu masa ke satu masa, bolehlah mengeluarkan perintah supaya diadakan lagi apa-apa undang-undang sebagaimana yang patut pada timbangan baginda bagi maksud mengatur hal ehwal agama dan bagi menubuhkan sebuah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu yang akan digelar dalam bahasa Inggeris “Council of Religion and Malay Custom” bagi menolong dan menasihatkan Raja Pemerintah dalam semua perkara mengenai Ugama Negeri dan Adat Resam Melayu.

(2) Penubuhan dan Pemerbadanan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.

Seksyen 4(1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991.

4. (1) Maka adalah dengan ini ditubuhkan suatu pertubuhan perbadanan bernama Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang yang kekal turun-menurun dan boleh mendakwa dan didakwa atas namanya dan, tertakluk kepada dan bagi maksud Enakmen ini, boleh membuat kontrak dan boleh memperolehi, membeli, mengambil, memegang dan menikmati apa-apa jenis harta alih dan harta tak alih dan boleh memindah hak, menyerah hak, menyerah balik, memulangkan, menggadai, menggadai janji, mendemis, menyerah hak semula, memindah milik atau dengan cara lain melupuskan atau membuat apa-apa urusan mengenai apa-apa harta alih atau harta tak alih atau apa-apa kepentingan mengenainya yang terletak hak pada Majlis mengikut apa-apa syarat yang Majlis fikirkan patut.