KUANTAN. 8 Jun 2018 bersamaan 23 Ramadan 1439H – Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan meraikan anak-anak yatim dari Taman Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah (TPSHAS) membeli kelengkapan pakaian baru untuk menyambut Syawal. Kegembiraan jelas terpancar pada wajah anak yatim ini apabila berpeluang dibawa ke gedung pakaian JAKEL untuk memilih sendiri pakaian yang akan dipakai pada Hari Raya Aidilfitri nanti dan juga turut menerima sumbangan duit raya dari Majlis Ugama Islam Pahang. Program ini bertujuan berkongsi kegembiraan bersama-sama anak yatim serta dapat meringankan beban keluarga untuk berhari raya dengan lebih bermakna.

Di sebelah petangnya pula diadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan dan Berbuka Puasa di Masjid Beserah kepada asnaf-asnaf di kawasan sekitarnya. Mereka menerima sumbangan wang tunai berserta hamper kuih-muih sebagai persiapan awal untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Manakala kanak-kanak yang hadir turut diraikan dengan pemberian duit oleh YH Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain.