KUANTAN. 17 Januari 2018 bersamaan 29 Rabiulakhir 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bercemar duli berangkat melawat mangsa kebakaran di Perkampungan Sungai Isap 2 di sini, hari ini.

Baginda selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang meluangkan masa bertemu semua mangsa yang terlibat dan mengurniakan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Pahang berjumlah RM6,000.00.

Kejadian kebakaran yang berlaku pada hari semalam sekitar pukul 4.30 petang telah mengakibatkan tiga buah rumah musnah sepenuhnya, dipercayai berpunca daripada litar pintas dari salah sebuah rumah.