ROMPIN. 3 Januari 2018 Bersamaan 15 Rabiulakhir 1439H – Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat ke 6 buah pusat pemindahan banjir di daerah Rompin iaitu Balairaya Kg. Sepayang, SMK Pontian Jaya, Dewan Telok Gading, SK Sarang Tiong, Pusat Pemindahan Banjir Kg. Setajam dan Dewan Desa Wawasan Kg. Pianggu bagi melawat dan mengurniakan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di situ.

Mengiringi keberangkatan baginda, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan paduka anakanda Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Baginda berkenan mengurniakan bantuan dari Majlis Ugama Islam Pahang berjumlah RM30,800.00 kepada 154 keluarga. Selesai pengurniaan bantuan di Rompin, baginda menyambung lawatan di dua buah pusat pemindahan banjir daerah Kuantan pada sebelah malam di Balairaya Kampung Pahang dan Dewan Wisma Belia di Indera Mahkota yang menempatkan mangsa perpindahan dari Perkampungan Sungai Isap Damai. Baginda mengurniakan RM38,400.00 kepada 192 keluarga.