Noraziah Binti Ropa

Azam untuk tidak selamanya tergolong dalam kalangan asnaf dan seterusnya menjadi usahawan yang berjaya membuatkan asnaf harapan kali ini gigih berusaha meningkatkan pendapatan. Sebagai seorang balu yang perlu menjadi tonggak keluarga, beliau tidak melepaskan peluang untuk menambah kemahiran yang boleh dijadikan sumber pendapatan, beliau telah menghadiri pelbagai kursus yang dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang semenjak tahun 2009 lagi seperti Kursus Sulaman Manik, Kursus Menghasilkan Aksesori Kristal Swarovski dan Mutiara, Asas Sulaman Reben serta Jahitan Jubah dan Tudung.

Menjadikan jahitan sebagai sumber pendapatan utama, beliau mengambil upah menjahit pakaian wanita,  tudung, sulaman manik pada pakaian, produk sulaman reben, produk daripada manik dan kristal serta kraftangan. Beliau juga mengambil upah membuat gubahan hantaran kepada yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau.

Prihatin dengan semangat kental beliau, pihak Majlis telah menyumbangkan mesin jahit lurus bernilai RM1,100.00 pada tahun 2011 dan seterusnya mesin jahit tepi yang bernilai RM1,500.00 pada tahun 2012. Beliau melahirkan kesyukuran atas bantuan yang diterima daripada Majlis dan latihan kemahiran yang diikuti telah dapat meningkatkan pendapatan beliau daripada RM300.00 sebulan kepada RM800.00.

Dengan peningkatan  pendapatan yang beliau perolehi itu sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan bagi menanggung persekolahan tiga orang anak beliau. Buat masa ini beliau masih menumpang di rumah ibubapa dan berhasrat agar suatu masa nanti beliau mampu untuk memiliki rumah sendiri.

Bantuan Yang diterima

Mesin Jahit Lurus dan Mesin Jahit Tepi bernilai RM2,600.00

produk

Jahitan / Kraf dan Gubahan / Kuih Kering (Tart / Popia Simpul)

Alamat

No. 179, Felda Dahlia, Jengka 3, 26440 Bandar Pusat Jengka,  Pahang Darul Makmur