CAMERON Highlands. 28 September 2017 bersamaan 7 Muharam 1439 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mencemar duli berangkat ke Majlis Walimatulurus Saudara Baharu dan Ramah Mesra Masyarakat Orang Asli yang telah berlangsung di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, dekat sini.
Program ini adalah anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Jabatan Agama Islam Pahang dan Jabatan Kemajuan Masyarakat Orang Asli. Program ini bertujuan bagi memudahkan pasangan mendirikan rumah tangga dan dapat bersua muka dengan Tuanku serta dapat mengeratkan lagi silaturahim antara penduduk masyarakat Asli, institusi diraja serta jabatan-jabatan kerajaan. Majlis Walimatulurus dan Program Ramah Mesra ini bersempena lawatan kerja KDYMM Pemangku Raja Pahang di sini. Majlis dimulai dengan sembilan pasangan pengantin yang selamat diijab kabul oleh Al-Fadhil Qadhi Cameron Highlands dan Al-Fadil Qadhi Kuala Lipis di hadapan Tuanku sambil disaksikan oleh Yang Dihormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail serta Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Osman.
Sembilan pasangan pengantin dari Kampung Orang Asli Belau, Lipis dan Kampung Orang Asli Leryar serta Kampung Orang Asli Abu Cameron Highlands. Selesai sahaja ijab kabul, mereka berarak masuk ke pentas pelamin diiringi paluan kompang. Majlis hari ini juga diserikan lagi dengan syahadah seorang penduduk dari Kampung Menson yang menyatakan hasrat untuk mengucapkan syahadah. Sesi penerangan dan syahadah disampaikan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang sambil disaksikan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang, selaku Tuanku YDP Majlis Ugama Islam Pahang, Yang Dihormat Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Bin Haji Wan Hassan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang serta Yang Berhormat Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail. Penyerahan wang saguhati pemelukan Islam dan barang kelengkapan ibadah turut disampaikan kepada peserta syahadah. Di samping itu, KDYMM Tuanku bertitah supaya saudari Norhayati yang baru memeluk agama Islam mempelajari kelas fardu ain yang disediakan oleh Majlis.
Seterusnya, istiadat merenjis yang dimulakan oleh KDYMM Tuanku, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Dihormat Orang Kaya Indera Pahlawan dan Pegawai Daerah Cameron Highlands dan persembahan ucapan oleh YDH Orang Kaya Indera Pahlawan selaku Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.
Dalam titah KDYMM, Tuanku menyatakan perasaan syukur baginda kerana dapat bertemu dengan masyarakat asli setempat dan merupakan satu penghormatan daripada Tuanku buat penduduk kampung tersebut. Baginda juga berharap penduduk dapat mendalami ilmu agama dan berusaha meningkatkan taraf hidup mereka. Selain itu, baginda menyatakan Majlis telah memperuntukkan sebanyak RM2,899,200.00 kepada asnaf mualaf dan fakir miskin Asli serta bantuan tahunan yang melibatkan seramai 15,416 penerima di seluruh Pahang. Di akhir titah, baginda mengucapkan tahniah kepada kesembilan pengantin yang diraikan dan penghargaan terima kasih Majlis kepada semua pihak yang menjayakan majlis tersebut. “Petang ini sembilan pasang pengantin amat bertuah kerana dapat menjadi ‘raja sehari’ berbanding saya cuma Pemangku Raja sahaja,” titah baginda secara berseloroh pada majlis tersebut.

Antara tetamu kehormat yang hadir, Ahli-Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengarah JAKOA, Encik Johari bin Alwi, Ahli-Ahli Jemaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang dan Ketua-ketua Jabatan. Sekalung penghargaan kepada semua agensi yang terlibat iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Jabatan Agama Islam Pahang, Jabatan Kemajuan Orang Negeri Pahang, Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands, Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Lipis, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Cawangan Cameron Highlands, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Cawangan Lipis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Penggerak Masyarakat Orang Asli, Pembantu Penggerak Masyarakat Orang Asli, Batin-batin dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.