PEKAN. 20 Februari 2020 – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Pekan dengan kerjasama Pejabat Daerah Dan Tanah Pekan telah mengadakan Program Taklimat Pengurusan Zakat Daerah Pekan 2020 bertempat di Dewan Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, Pekan. Program taklimat bermula 08.00 pagi dan berakhir 01.00 petang telah dihadiri oleh seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada Penghulu Mukim, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Imam Masjid dan Jabatan serta Agensi pemberi bantuan di Daerah Pekan. Program ini diadakan bagi menjelaskan kepada peserta mengenai bentuk-bentuk bantuan zakat yang disediakan dan bagaimana prosedur permohonan boleh dilakukan serta maklumat yang diberikan boleh disalurkan kepada masyarakat setempat yang memerlukan. Selain daripada itu juga ianya dapat mewujudkan hubungan dua hala pentadbiran ini dengan pemohon dan membentuk kerjasama secara kolaboratif bersama kepimpinan masyarakat dan jabatan serta agensi pemberi bantuan dalam memastikan bantuan dapat disalurkan kepada pihak yang benar-benar berkelayakkan. Taklimat telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Nasrul Hakim Bin Mat Daud Penolong Pegawai Zakat Unit Fakir Miskin Ibu Pejabat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang mengenai Prestasi Agihan Zakat 2019 Dan Bentuk Agihan serta Prosedur Permohonan Bantuan Zakat. Perasmian program telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Jafri Bin Ahmad yang merupakan Penolong Pegawai Daerah Bahagian Pengurusan Daearh di Pejabat Daerah Dan Tanah Pekan.