PEKAN. 05 Disember 2019 – PEKAN – DRB-HICOM University (DHU) merupakan universiti automotif pertama di Malaysia hari ini menyambut pelajar yang tamat pengajian seramai 686 orang, dan dianugerahkan pencapaian cemerlangnya pada majlis konvokesyen keenam yang diadakan di kampus induknya di Pekan, Pahang. Konvokesyen tahun ini juga menandakan pengijazahan kumpulan pertama program ijazah Sarjana Muda dan Pasca DHU.

Majlis tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Canselor DHU, Baginda Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli pada adat istiadat konvokosyen itu.

Seperti kebiasaannya pelajar-pelajar yang terlibat dengan kelas keusahawanan diwajibkan untuk membuka gerai jualan. Selain memeriahkan majlis konvokesyen ia juga adalah tugasan matapelajaran serta aktiviti tahunan mereka. Atas kesempatan ini Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) ditawarkan untuk buka gerai jualan yang melibatkan hasil air tangan asnaf samaada produk kering dan sejukbeku.

Mereka yang terpilih untuk berniaga disini meletakkan produk seperti popia satar, cheesekek serta produk kering seperti kuih bawang, rempeyek, kerepek pisang sebagai tarikan pembeli. Mereka juga mengetengahkan produk tradisi Pahang seperti nasi manis dan tepung suji yang menjadi tarikan utama pengunjung dari negeri-negeri lain. Jualan makanan seperti tauhu begedil dan popia satar berjaya manarik pelanggan dari kalangan penuntut universiti itu.

Aktiviti jualan ini sedikit sebanyak membuka ruang kepada golongan asnaf meluaskan pasaran mereka lebih jauh serta menjadi medium kepada mereka untuk menarik pelanggan dari pelbagai lapisan pembeli. Sambutan menggalakkan ini menjadi janaan kepada sumber pendapatan mereka serta membuka minda masyarakat luar akan kemampuan golongan asnaf dalam bidang perniagaan.