ROMPIN. 10 Oktober 2019 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin telah mengadakan satu Program Ziarah Dakwah dan Ramah Mesra Kampung Orang Asli (KOA) Petoh. Sebanyak 165 buah keluarga masyarakat Orang Asli di perkampungan ini telah diziarahi dalam Program kali ini. Program bermula dengan ziarah dan dakwah secara santai dari rumah ke rumah pada sebelah pagi, dan disusuli pula dengan acara sukan rakyat untuk golongan kanak-kanak mahupun golongan dewasa pada sebelah petang. Turut menyertai program ini adalah kakitangan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Rompin, Guru Briged Dakwah MUIP Cawangan Rompin, serta beberapa orang sukarelawan. Program ini merupakan salah satu inisiatif MUIP Cawangan Rompin ke arah memperkenalkan dan mendekatkan masyarakat Orang Asli di daerah Rompin kepada Agama Islam. Semoga Allah S.W.T memberi hidayah-Nya kepada masyarakat Orang Asli di kampung ini.