ROMPIN. 04 Oktober 2019 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin telah mengadakan program jejak asnaf serta ziarah penerima bantuan bulanan MUIP di seluruh Pulau Tioman, Rompin. Program ini diadakan bersempena dengan Program Penghayatan Islam anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bertempat di Pulau Tioman bermula dari 4 Oktober 2019 sehingga 6 Oktober 2019. Seramai 20 orang asnaf dan 11 orang penerima bantuan bulanan MUIP telah dijejaki dan diziarahi dalam program kali ini. Program ini merupakan insiatif dari pihak MUIP Cawangan Rompin untuk mengenalpasti asnaf yang berpotensi untuk diusahakan pemberian bantuan zakat kepada mereka disamping melihat sendiri perkembangan terkini penerima bantuan bulanan MUIP yang sedia ada di pulau berkenaan. Program yang diadakan secara berkala ini akan diteruskan lagi pada masa yang akan datang bagi memastikan asnaf yang berkelayakan dan memerlukan dari Pulau Tioman ini tidak ketinggalan dalam mendapatkan bantuan dari pihak MUIP.