Juriah Binti Nong

Dinobatkan sebagai Ikon Usahawan Asnaf Negeri Pahang pada tahun 2018, Puan Juriah binti Mohd Nong telah menjadikan anugerah yang diterima sebagai pembakar semangat untuk lebih yakin melangkah jauh memperkembangkan perusahaan produk baulu yang diwarisi ibunya sejak dulu. Sejak berpindah ke premis baru yang lebih strategik di pusat Rompin, pendapatannya telah meningkat dari RM5,000.00 – RM7,000.00 sebulan. Lokasi premis yang terletak di tengah-tengah pusat komersial ini, telah membuka ruang pasaran yang lebih baik dan menarik lebih ramai pelanggan di kawasan sekitarnya.

Bagi memenuhi cita rasa dan permintaan pelanggannya serta memperluaskan lagi pasaran produk, beliau telah memvariasikan kuih baulunya seperti Kek Bahulu, Bahulu Chocolate Moist, Puding Bahulu, Kek Bahulu Cheese, Bahulu Gulung, dan Bahulu Pandan disamping mengekalkan resepi tradisional warisan ibunya. Berkat segala payah jerih beliau mengembangkan perniagaannya telah membuahkan hasil apabila produknya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat kuih baulu dari dalam dan luar daerah Rompin. Beliau kini dalam usaha untuk mendapatkan sijil halal bagi memperluaskan perniagaan dengan lebih serius kea rah menjadi seorang pengusaha baulu yang lebih berjaya di peringkat negeri dan nasional.

Motto “Jangan mudah berputus asa”, telah menjadi prinsip yang dipegang oleh beliau dari dulu yang mana telah membawa beliau ke satu tahap yang selesa hingga kini. Beliau sangat berharap agar semua asnaf dapat mencapai impian menjadi Ikon Usahawan Asnaf yang berjaya sepertimana yang telah beliau peroleh dan tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baru serta tidak cepat mengalah sekiranya menghadapi cabaran dalam perniagaan.
Beliau mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang atas sumbangan yang diberikan sehingga berjaya dalam bidang perniagaan dan dianugerahkan sebagai salah seorang Ikon Usahawan Asnaf Negeri Pahang 2018. Pihak Majlis mengharapkan agar beliau terus berjaya menjadi usahawan dalam perniagaan baulu seterusnya menjadi inspirasi kepada asnaf-asnaf yang lain.

PRODUK

KEK BAHULU
BAHULU CHOCOLATE MOIST
PUDING BAHULU
KEK BAHULU CHEESE
BAHULU GULUNG
BAHULU PANDAN

ALAMAT PREMIS

KAK MEK TRADING, NO. 12, MEDAN SELERA, 26800 KUALA ROMPIN

TELEFON

013-9612757